Makanan separa pejal bayi, bila waktu yang sesuai?
Saya sering terbaca dan terdengar tentang kisah ibu-ibu yang memulakan pemakanan separa pejal kepada bayi mereka sebelum umur enam bulan. Alasan biasa yang diberikan adalah bayi kelihatan lapar walau pun setelah disusukan sama ada susu ibu atau pun susu formula. Tidak kurang yang “top up” bayi mereka dengan susu formula dengan alasan susu mereka tak cukup. Bayi minum lama tapi tak kenyang-kenyang.
Antara makanan terawal yang diperkenalkan adalah seperti bijirin bayi, pisang, air tepung beras dan sebagainya. Perlu diketahui bahawa pengenalan terhadap makanan separa pejal yang terlalu awal adalah amat berisiko. Ini adalah kerana usus bayi sebelum usia enam bulan masih belum bersedia memproses makanan separa pepejal. Bahkan sesetengah susu formula juga boleh mendatangkan masalah kepada pencernaan bayi. Kesan yang biasa dilihat adalah seperti kembung, cirit birit atau sembelit. Mungkin sesetengah bayi tidak menunjukkan sebarang masalah seperti yang disebutkan tetapi ia masih mempunyai risiko kesan jangka panjang yang boleh dilihat setelah bayi tersebut dewasa. Selain dari itu, pengenalan makanan terlalu awal boleh meningkatkan risiko masalah alergi kepada bayi.
Apa yang ibu-ibu perlu ketahui adalah bayi yang baru dilahirkan hingga umurnya enam bulan perlu diberikan susu ibu semata-mata. Sehingga umur bayi tersebut setahun, khasiat dari susu adalah mencukupi untuk tumbesaran seorang bayi. Pengenalan kepada makanan separa pejal pada umur enam bulan adalah untuk memperkenalkan bayi kepada rasa dan tekstur makanan yang berbeza. Mungkin ada sesetengah bayi menunjukkan minat yang terlalu awal terhadap makanan (contohnya empat bulan). Bukan saja faktor minat yang perlu diambil kira, faktor seperti:-
(1) Sudah boleh duduk dengan bantuan, pergerakan tangan mencapai dan memasukkan alat permainan ke dalam mulut
(2) Dapat mengawal pergerakan kepala dengan baik
(3) Hilang tongue thrust reflex
(4) Melihat orang lain makan dan memerhatikan pergerakan makanan disuap ke dalam mulut
(5) Bayi sudah boleh membuat gerakan membuka mulut, mengunyah.
(6) Bayi mula berupaya memberitahu ia tidak mahu dengan menggelengkan kepala.
(7) Masih kelihatan lapar selepas minum susu.
Pastikan bayi anda memenuhi sekurang-kurangnya empat atau lima kriteria di atas sebelum anda mengambil sebarang keputusan berkenaan dengan pemakanan bayi anda. Sekiranya anda merasakan yang bayi anda telah bersedia untuk memulakan pemakanan separa pepejal perhatikan perubahan-perubahan pada si manja seperti:-
(1) Kembung perut
(2) Ruam merah seperti kertas pasir pada muka
(3) Hidung berhingus dan mata berair
(4) Cirit birit atau najis bermukus/berlendir
(5) Ruam merah pada lubang punggung
(6) Tidak duduk diam (cranky behaviour)
(7) Muntah-muntah
Sekiranya keluarga anda mempunyai sejarah alergi adalah lebih baik anda menyediakan diari pemakanan bayi bagi memudahkan anda mengenalpasti punca alahan sekiranya berlaku sebarang reaksi.
Tidak dinafikan pengalaman menjadi ibu dan melihat si manja menerima makanan pertama adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu. Bagaimana pun, pastikan si manja dan anda telah benar-benar bersedia untuk melaluinya. Sekiranya percubaan menyuap makanan kali pertama tidak berjaya, berhenti dan cuba lagi di lain hari. Pada kali pertama mungkin si kecil hanya makan sesudu makanan yang disuap kepadanya. Jangan kecewa jika ia tidak makan sebanyak yang anda mahukan kerana pada peringkat awal, tujuan pengenalan makanan separa pejal adalah untuk memperkenalkan bayi anda kepada rasa dan tekstur makanan yang berlainan. Kenalkan satu jenis makanan pada satu-satu masa dan gunakan kaedah 4-days-rule untuk mengesan sebarang reaksi alahan pada bayi anda.
Jangan lupa bahawa susu ibu masih lagi makanan utama bayi anda dan khasiatnya adalah mencukupi bagi tumbesaran bayi anda!
source: Penyusuan Susu Ibu
Comments